Monday, April 6, 2009

Teka-Teki Imam Ghazali kepada murid-muridnya.

1. apa yang paling dekat dengan kita di dunia

ini?

-KEMATIAN.

janji Allah setiap yang bernyawa pasti akan

mati ( Al-Imran 185).

2. apa yang paling jauh dengan kita dalam

dunia ini?

-MASA LALU KITA.

bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita

kita tetap tidak mampu untuk kembali ke

masa lalu. oleh itu, hargailah apa yang

kita ada sekarang. haruslah kita menjaga

diri dan keluarga dengan perbuatan yang

sesuai dengan ajaran agama.

3. apakah yang paling berat di dunia ini?

-MEMEGANG AMANAH. (Al-Ahzab).

walau dalam apa bentuk sekali pun.

apabila ada amanah, maka ada

tanggungjawab.

4. apa yang paling besar di dunia ini?

-NAFSU.

(Al-A'raf: 179) maka kita harus menjaga

hati dan jasad agar tidak dikawal oleh

nafsu.jangan sampai nafsu menjadi tuan

lalu menjerumus ke lembah kehinaan,

mengheret kita menjadi penghuni neraka.

5. apa yang paling ringan di dunia ini?

-MENINGGALKAN SOLAT.

disebabkan pekerjaan, meeting, shopping

dan sebagainya ada yang sanggup

meninggalkan solat dengan mudah sahaja

tanpa memikirkan yang solat itulah tiang

agama. tiada tiang runtuhlah agama dan

tanpa agama runtuhlah organisasi

masyarakat amnya serta dunia

keseluruhannya.

6. apakah yang paling tajam di dunia ini?

-LIDAH MANUSIA.

kerana lidah manusia boleh menyakiti hati

dan melukai perasaan orang yang rapat

dengan kita malah kelukaan itu lebih

parah daripada terkena tusukan pedang

yang paling tajam. kalau kita tidak mahu

disakiti, jadi kawallah lidah agar tidak

menyakiti orang lain.

Tujuh golongan mukmin mendapat perlindungan perkara melalaikan

RASULULLAH SAW bersabda maksudnya: “Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: “Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Ada tujuh golongan yang bakal mendapat naungan di hari akhirat kelak iaitu:

1. Pemerintah yang adil.

Ia kerana tanggungjawab yang dipikul oleh pemerintah dalam melaksanakan keadilan amat berat. Bukan mudah bagi seorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya. Sekiranya keadilan ini berjaya ditunaikan, ganjarannya adalah amat besar sekali. Namun jika gagal, dia menjadi pemerintah yang zalim dan azab menanti di akhirat kelak.

2. Pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya.

Sebaik-baik masa dan semahal-mahal harganya di dalam hidup seseorang manusia adalah ketika di alam remaja. Ini kerana pada usia muda seseorang itu mendapat peluang yang banyak untuk menghadapi masa depannya, badannya sentiasa sihat, tenaganya kuat, pendengaran dan penglihatannya tajam dan sempurna.

Pada masa muda juga pelbagai ujian dan godaan terpaksa ditempuhi. Maka, beruntunglah pemuda yang berjaya melepasi rintangan ini. Bahkan, usia mudanya itu diisi dengan amal ibadat serta memberikan khidmat cemerlang kepada agama, masyarakat dan negara.

3. Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid.

Sesungguhnya ada hadis yang menyebutkan bahawa dua hayunan kaki yang melangkah ke masjid ganjarannya amat besar di sisi Allah dan dikategorikan sebagai suatu sedekah.

Maka, apatah lagi bagi orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid dan sentiasa mengunjunginya untuk beribadah, ganjarannya tentulah lebih besar lagi.

4. Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah

Hubungan yang terjalin di atas dasar yang bercanggah dengan syariat sehingga melanggar batas agama, adab kesopanan dan sebagainya adalah hubungan yang menjurus ke arah dosa dan maksiat. Seharusnya ikatan kasih sayang yang dijalinkan sesama manusia mestilah ikhlas kerana Allah supaya ia mendapat pahala, restu dan keberkatan daripada-Nya.

5. Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu (berzina) dengannya lalu dia menolak dengan berkata:” Aku takut kepada Allah!”

Ia menunjukkan keimanan dan ketakwaan yang sebenar sudah berjaya menangkis segala bentuk godaan.

Hal ini bukanlah mudah kerana tanpa kekuatan iman seseorang itu pasti akan mudah terpengaruh dengan bisikan nafsu dan akhirnya terjebak dalam perbuatan zina tanpa takut dosanya.

6. Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya

Ia menggambarkan mengenai keikhlasan hati orang yang bersedekah. Sesungguhnya tidak ramai orang yang dapat menyembunyikan kebaikan yang dilakukannya melainkan ada perasaan riak dan ingin menunjuk-nunjuk. Ia supaya mendapatkan pujian atau sanjungan atau sekurang-kurangnya ada orang yang mengetahui kebaikan yang dilakukannya.

7. Orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah

Inilah sifat mukmin sejati yang mempunyai perasaan cintakan Allah dengan sepenuh hatinya. Dia sentiasa memikirkan dan menghayati kejadian dan keagungan ciptaan Allah serta sifat-Nya yang Maha Agung. Oleh itu, hati, fikiran dan jiwanya terhindar daripada perkara yang melalaikan.